Friday, April 3, 2009

Sebarang kesilapan membawa padah


PENYOKONG MERAH-KUNING AGAK HAMPA APABILA SELANGOR TEWAS KEPADA TERENGGANU PADA SAINGAN TERAKHIR LIGA SUPER BARU-BARU INI. kekalahan 1-2 kepada Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin jelas sedikit sebanyak memberi kesan psykologi kepada peminat serta penyokong The Red Giant.

Kekalahan tersebut juga bererti Selangor terpaksa melepaskan gelaran peneraju Liga Super kepada pasukan Perlis. Ketika saingan menyaksikan 2 pasukan teratas liga diberikan tumpuan iaitu pasukan Selangor dan Kelantan, secara tiba-tiba Perlis berjaya merampas kedudukan takhta Liga Super apabila Selangor dan Kelantan kecundang pada perlawanan lalu.

Situasi serta kedudukan Selangor juga turut terancam apabila 5 pasukan teratas iaitu Perlis, Kelantan, N.Sembilan serta Kedah, masing-masing berkedudukan rapat dari segi pungutan mata. Ini secara langsung akan memberi ancaman besar kepada Selangor dalam mendapatkan gelaran Juara Liga Super.

Kedah yang terumbang-ambing dipermulaan liga kini jelas bangkit dan mengejar dengan pantas di belakang. 5 perlawanan terakhir mereka berakhir dengan kemenangan dan Selangor seharusnya memahami isyarat jelas dari skuad Kenari tersebut.

Secara teorinya, Selangor seharusnya mula mengorak langkah dengan segera dengan menjadikan perlawanan seterusnya menentang PDRM sebagai permulaan langkah untuk terus mencapai kemenangan demi kemenangan. Seri atau tewas bererti Selangor akan membuka ruang yang lebih luas kepada pihak lawan untuk menerajui liga. Di atas kertas, PDRM yang kini berada di tangga paling bawah liga pasti akan mudah ditundukkan. Namun harus diingat, Selangor pada musim lalu jelas diberi tentangan sengit oleh PDRM sehingga menyaksikan beberapa adegan panas terhampar di tengah padang! Dan musim ini juga menyaksikan pasukan-pasukan yang dianggap kerdil dan mampu dijinakkan berjaya mengatasi tahap permainan Selangor!

Salah satu persoalan yang membingungkan peminat Red Giant adalah 'apa sudah jadi dengan kelibat Safee Sali'? Kemana menghilangnya sentuhan berbisa beliau? Apa yang tidak kena. Sesuatu harus dilakukan oleh beliau dan juga FAS untuk mengembalikan semula kehebatan jentera peledak Selangor. Diimbas kembali pertarungan menentang Terengganu tempoh hari, benteng pertahanan Selangor juga kelihatan agak rapuh. Penyerang lawan dilihat mudah menerobos masuk ke benteng terakhir Selangor tanpa dihadirkan dengan kawalan-kawalan yang ketat sebagaimana biasa. Seharusnya perkara dan situasi ini tidak boleh berlaku lagi ketika masing-masing ghairah mengejar kedudukan mata.

Rata-rata peminat Red Giant mengharapkan agar Selangor mampu membelasah PDRM dalam saingan esok malam agar dapat mengembalikan semula semangat penyokong yang tidak jemu-jemu bersorak memberi sokongan padu kepada skuad Selangor setiap kali perlawanan berlangsung. Skuad Selangor tidak boleh melakukan sebarang kesilapan yang boleh menyebabkan Selangor keciciran mata lagi. Sebarang keputusan seri ataupun kalah, pasti akan membuatkan pasukan-pasukan lain tersenyum-riang!

No comments:

Post a Comment