Thursday, April 2, 2009

Sultan Selangor cabar Merah Kuning menang Piala Malaysia

SULTAN SELANGOR, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH mencabar pengurusan dan pasukan bola sepak Selangor supaya merangkul trofi berprestij negara, Piala Malaysia buat kali ke-33 musim ini.

Baginda yang bangga dengan pencapaian Merah Kuning setakat ini, turut menggesa seluruh pasukan terus menyemai semangat juang yang tinggi di hati demi mengembalikan zaman kegemilangan negeri itu sehingga kembali digeruni lawan.

Sultan Sharafuddin yang diakui sebagai peminat nombor satu bola sepak negeri itu, melontarkan harapan dan cabaran itu ketika bertitah merasmikan mesyuarat pertama Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-12 di sini, semalam.

Kali terakhir pasukan Selangor menjulang Piala Malaysia ialah pada 2005 di bawah bimbingan Dollah Salleh setelah menewaskan Perlis 3-0 di samping menggondol Piala FA dan menjuarai Liga Perdana.

Bagaimanapun musim 2007-2008 menyaksikan dua kehampaan berturut-turut Gergasi Merah apabila ditewaskan Kedah 3-2 dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam dan Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Musim ini menyaksikan Selangor yang diterajui K. Devan dan pengurusnya, Zakaria Ab. Rahim, mara ke separuh akhir Piala FA setelah membenam Perak dengan agregat 4-1, malah menerajui Liga Super selepas merampasnya semula dari Kelantan pada 28 Februari lalu.

Gergasi Merah akan bertandang ke Kangar, Perlis bagi menghadapi separuh akhir pertama Piala FA, 7 April ini manakala perlawanan Liga Super mereka yang berikutnya ialah menentang KM Naza di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 21 Mac ini.

Bagaimanapun, persaingan Piala Malaysia musim ini dijadualkan bermula antara Julai hingga Ogos ini.

No comments:

Post a Comment