KUALA LUMPUR - Selepas Reduan Abdullah dihukum dan Tan Sri Annuar Musa berbaris menanti panggilan 'mendebarkan', giliran pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim menyusuli langkah menghadap Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tiba 23 April ini.
Puncanya ialah kenyataan kepada sebuah akhbar yang kurang disenangi FAM dan mirip tindakan kedua-dua jurulatih Felda United dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu dengan sepucuk surat badan induk yang mengarahkan penjelasan Zakaria, dikeluarkan pada 6 April lalu.
Tarikh membicarakan pengurus Gergasi Merah di Wisma FAM, Kelana Jaya disahkan oleh setiausaha agung badan induk berkenaan, Datuk Azzuddin Ahmad kepada Utusan Malaysia, semalam dan dia kini berdepan hukuman penggantungan dan denda oleh jawatankuasa itu.
Zakaria dikatakan membuat kenyataan itu tanpa kebenaran FAM pada 4 April - kesalahan yang menghukum Reduan, mulanya dengan penggantungan setahun oleh Jawatankuasa Tatatertib sebelum dikurangkan kepada tiga bulan oleh Jawatankuasa Rayuan, 2 April lalu.
"Memang saya menerima surat FAM itu dan telah menjawabnya menerusi surat balasan, sehari kemudian walaupun tempoh yang mereka berikan itu cuma tiga hari," kata bekas pemain tengah Selangor dan Malaysia pada era 1970-an dan 80-an itu.
Kata Zakaria, surat balasan panjang lebar dan setebal empat muka itu dihantar dengan harapan FAM tidak tersalah tafsir dengan kenyataan di akhbar itu yang turut mahukan badan induk berkenaan bersikap lebih terbuka dengan pandangan para penggiat bola sepak tempatan.
"Sebagai orang bola sepak, kami pun ada hak untuk bersuara dan wajar diberikan ruang dan saya fikir kenyataan itu terlalu kecil untuk dianggap sehingga mampu menjejaskan pembangunan bola sepak negara malah ada ketikanya saya masih memuji FAM," katanya.
Beliau yang merupakan satu-satunya pengurus pasukan Liga Malaysia sepenuh masa dan bergaji tetap, turut berharap kenyataannya tidak perlu dipanjang-panjangkan ke Jawatankuasa Tatatertib hingga mampu mengeruhkan keadaan semasa bola sepak negara.
"Saya harap FAM menerima penjelasan saya yang cukup lengkap dalam surat balasan itu dan tutup kes. Tidak perlu kecoh-kecoh dan tidak perlu mengeruhkan suasana. Ia satu perkara kecil yang bukan boleh melingkupkan bola sepak kita pun," tegasnya.
Sebagai rekod, kerana mendakwa ujian kecergasan Yoyo tidak dipantau FAM pada 20 Februari lalu, Reduan digantung setelah didapati menyalahi Perkara 5.8.1 Peraturan Pertandingan Liga Malaysia dan dihukum menurut Perkara 18.2 Peraturan Tatatertib FAM 2008.
Annuar pula didapati mengkritik pengadil dalam satu sidang akhbar dengan menyalahkannya sebagai punca penyokong Wira Merah melempar botol ke padang Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dalam perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan pada 31 Mac lalu.
Bagi perlawanan itu sahaja, Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 9 April lalu sudah pun mendenda KAFA berjumlah RM40,000 dan menuntutnya membayar ganti rugi RM19,770 kepada tuan punya bas pasukan Negeri Sembilan yang dirosakkan oleh penyokong Kelantan.
Penjaga gol skuad Kijang, Halim Napi yang didapati menyerang pertahanan lawan, Aidil Zafuan Radzak dalam separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu, 7 April lalu juga bakal dihadapkan ke jawatankuasa itu sekali gus berdepan hukuman lebih berat; didenda atau digantung permainan.
No comments:
Post a Comment